KOTA KINABALU: Gangguan bekalan yang sering menjejaskan pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ketika ini dijangka dapat dikurangkan menerusi pembelian 14 unit jana kuasa mudah alih berharga RM12 juta.
Pengurus Besar (Pengurusan Aset) SESB, Muhamad Nazri Pazil, berkata tujuh unit jana kuasa berkapasiti 500 kiloWatt (kW) itu sudah diterima daripada syarikat pembekal, manakala selebihnya dijangka diterima bulan depan.
Beliau berkata, jana kuasa berkenaan yang berharga RM840,000 seunit akan ditempatkan di kawasan kritikal seluruh negeri khususnya di bandar raya ini, Tawau, Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Tujuh unit yang sudah diterima akan digunakan di Kota Kinabalu, manakala unit lain yang tiba bulan depan ditempatkan di Tawau, Sandakan dan Labuan. Jana kuasa ini akan digerakkan ke lokasi yang berlaku gangguan akibat kerja penyelenggaraan atau kerosakan.
“Inisiatif ini mampu mengurangkan tempoh gangguan kerana SESB boleh menggerakkan jana kuasa ini bila-bila masa tanpa perlu bantuan kontraktor berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan jana kuasa mudah alih itu, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Muhamad Nazri menerima replika anak kunci daripada Ketua Pegawai Eksekutif WZS PowerGen Sdn Bhd, Marizan Nor Basirun sebagai simbolik penerimaan jana kuasa mudah alih daripada syarikat pembekal.
Yang turut hadir ialah Pengurus Besar (Penjanaan) SESB, Abdul Razak Salleh; Timbalan Pengurus Besar (Pembahagian SESB), Ridwan Saham dan Ketua Jurutera (Jabatan Sokongan Teknikal Penjanaan) SESB, Amir Palingei.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190216